Search This Blog

Sunday, 8 May 2011

NOSTALGIA WAYANG DAHULU

Dunia semakin berubah, usia semakin bertambah  namun nostalgia lama masih terpahat  dalam setiap kotak ingatan kita yang bernama insan.Aku masih ingat zaman kanak- kanakku ketika  di kampung dahulu .Wayang merupakan sumber hiburan utama ,maklum saja kampung yang terpencil jauh dari bandar Kuching.Pada masa itu perkhidmatan wayang bergerak ( travelling movies ")cukup popular Seingatan aku, ada dua buah taukeh wayang  yang beroperasi iaitu Shaws Brothers  dan Cathay Keris.Apabila kapal kotak  / bot kecil  yang  bakal menayangkan filem tiba di Pengkalan  Pak Haji Mohammad , seluruh kampung akan riuh untuk mengetahui filem yang akan ditayangkan.Masa itulah peluang untuk penduduk kampung yang ingin mendapat " pas percuma " menonton wayang akan berlumba-lumba  menyumbangkan tenaga untuk mengangkut  peralatan elektrik seperti  generator ,set tayangan filem , layar perak ( kain putih), dan "still photo"."Still photo" atau poster wayang  akan  diarak sekeliling kampung sebagai salah satu strategi pengiklanan terus. Cukup meriah macam filem P.Ramlee.
Lazimnya  filem -filem yang menjadi kegilaan pada masa itu ialah filem Hindustan dan Mandarin yang bercorak aksi/karate/kungfu yang dipelopori oleh Shaws Brothers.manakala filem-filem Melayu purba pula  di bawa oleh Syarikat Keris Filem/ Cathay Keris Film.Walau bagaimanapun sebelum itu filem-filem lakonan P.Ramlee  kerap diketengahkan di sekitar 50an dan 60an. Namun era 70an  mereka lebih banyak  memutarkan filem-filem Hindi, Mandarin , English dan Indonesia  di kampung aku.Filem-filem Melayu purba keluaran Cathay Keris lebih dekat di jiwa penduduk kampung aku kerana nilai kemelayuannya lebih tinggi  terutama   yang dibintangi Nordin Ahmad, Latiffah Omar , Ummi Kalthoum ,Wahid Satay ,Siti Tanjung Perak dan ramai lagi....
                                                                                                                                  

( Gambar ini dipetik dari majalah MASTIKA FILEM  1966  yang beralamat di P.O.Box  71, Geylang, Singapura 14 . Salah satu koleksi bapa saudaraku yang sempat diselamatkan oleh ayahku ketika hendak  di buang ke dalam sungai )

Aku  masih ingat , kalau wayang yang dibawa  oleh Jabatan Penerangan , maka  "port'nya  ialah di gelanggang badminton  yang sekarang  sudah menjadi bengkel  kereta  Encik Nyaru.Kenapa ini berlaku ?? Jawapannya wayang dari Jabatan Penerangan lebih bercorak kepada pendidikan  dan  mengetengahkan  isu - isu  semasa  yang diterajui oleh Kerajaan Malaysia. Ia ditayangkan secara  percuma setiap kali  waktu  pendaftaran  pemilih- pemilih  baru untuk SPR. Memang cukup bijak kerajaan  menyebarkan  peranan mereka.
Bagaimana pula  dengan wayang yang berbayar ?  Ada  panggungkah ? Nak tahu tempat tayangannya di tingkat bawah bilik darjah satu. Layar putih digantung di hadapan papan hitam. Begitu juga alat pembesar suara. Manakala set tayangan filem termasuk projektor bolehalih diletakkan di atas pentas bersama  dengan gulungan filem serta  alat pemain piring hitam untuk diputarkan pelbagai jenis  lagu sementara tayangan jam 8.00 malam.Lazimnya tayangan dimulakan selepas sembahyang Isyak  . Aku masih ingat lagi  ,selepas  tayangan filem , siangnya kami terpaksa membersihkan bilik kelas tersebut yang dipenuhi sampah -sarap seperti kertas , kulit kuaci bunga dan kuaci tembikai, bekas bungkusan makanan ringan dan macam-macam ada. Bila dilaporkan kepada guru kelas , jawapan yang diterima  adalah sama.. bersihkan saja. Apa tidaknya  guru kelas pun dapat pas percuma menonton wayang.Itulah nostalgia wayang di era 70an  tatkala  aku masih di sekolah rendah...Berhenti setakat ini akan disambung kemudian..