Search This Blog

Saturday, 18 June 2011

Nostalgia Wayang 3: Filem Indonesia - " RINDU "

Dekad awal  70-an  ,negara jiran Indonesia  ligat menerbitkan filem-filem yang bertemakan kemasyarakatan. Isu seperti pengabaian  dan penderaan  kanak- kanak  begitu banyak digarapkan  dan dikupaskan  melalui layar perak.Antara yang  begitu  menyerlah  pada masa itu ialah filem RINDU .Filem yang diterbitkan pada tahun 1973 dengan peranan utama  pelakon yang cantik jelita   seniwati  Widyawati( Nancy) , Muni Cader( Kadir ) dan pelakon  kanak-kanak Ferry Irawan( Rindu).Memaparkan  kesengsaraan  Nancy ,seorang isteri  yang  terpaksa menyara seorang anak ( Rindu) setelah suaminya Kadir dipenjarakan . Nancy terpaksa menyerah Rindu kepada  saudaranya. Agak malang nasib Nancy apabila anaknya didera dan diperlakukan seperti haiwan oleh saudaranya sendiri. Sementara Nancy  difitnah dan dituduh mencuri barang kemas majikannya, lantas  diberhentikan kerja .Akibatnya dia terpaksa merempat.Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga  apabila suami Nancy sendiri termakan hasutan kononnya Nancy  menjual maruah ketika ketiadaannya.Kadir nekad mahu membunuh Nancy .Dalam filem  tersebut seniwati Rahayu Effendi memegang peranan sebagai saudara kandung yang galak dan kejam sehingga sanggup mendera anak saudara sendiri.

Filem  ini  mendapat sambutan yang hangat hinggakan terpaksa diulang tayang  dua atau tiga kali tayangan di sesebuah kampung terutamanya di Kota Samarahan. ( Kampung Muara Tuang, Kampung Tanjung Bundong, Kampung Baru, Kampung Meranek dan Kampung Pinang ).Nak tahu di mana panggungnya, sudah tentu bilik darjah Tahun Satu  di  kampung saya . Jangan marah, itu nostalgia  wayang tahun 70-an dahulu, kalau sekarang  sudah pasti Guru Besar akan diambil tindakan disiplin oleh Jabatan Pelajaran kerana membenarkan  bilik darjah dijadikan  panggung sementara. Itu zaman dulu, sekarang dah tak ada lagi.Cuma kenangan masih segar di ingatan....




                                    Widyawati  memegang peranan sebagai Nancy seorang isteri yang malang......
                                   Aku  masih  ingat  poster ( still photo ) filem ini digantung  di bawah pokok
                                   limau di hadapan  rumah  Pak Tuan Haji Mohammad  sebagai tarikan
                                   pada tahun 1975.Tinggal kenangan...VCD  yang  aku beli  denan harga
                                   RM10.00 .


Pertama kali menonton filem ini pada tahun 1975 , panggungnya  bilik darjah Tahun Satu. Tidak dapat dinafikan  perkhidmatan  wayang bergerak ( travelling movies ) cukup berjasa untuk menyajikan hiburan berbentuk  filem kepada penduduk luar bandar  yang masih jauh ketinggalan arus pembangunan pada era berkenaan.

No comments:

Post a Comment